Sehubungan itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada sebab Bersatu bertanding di kerusi ber­kenaan.

“Kawasan itu (DUN Rantau) telah diperuntukkan kepada PKR dan kita tidak akan buat sebarang perubahan kerana setakat hari ini, kerusi yang telah diperuntukkan kepada parti komponen PH masih kekal macam yang lepas.

“Semuanya sudah dimuafakatkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan jika kerusi itu (milik) PKR, jadi parti itulah yang putuskan siapa calon paling sesuai di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu le­bih sesuai bertanding di Rantau berbanding PKR memandangkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan akan bertanding di kawasan itu.

Berhubung permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mahu menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata, pucuk kepemimpinan parti masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Saya diberitahu beliau sudah mengemukakan permohonan beberapa bulan lalu, tetapi keputusan penerimaan belum dibuat oleh pucuk pimpinan. Orang mahu mohon, boleh mohonlah tetapi keputusan tertakluk persetujuan kita,” katanya.