Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya kini masih berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan bagi memastikan rancangan berkenaan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kertas kerja berhubung reformasi sistem pilihan raya itu nanti akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet apabila ia selesai.

“Kita sedang merancang program dan bengkel untuk melihat bagaimana polisi melibatkan 30 peratus wanita dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas penutup Persidangan Festival Wanita: Wanita dan Gadis Dalam Sains, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau pernah mencadangkan perubahan sistem pilihan raya negara antaranya mewujudkan kuota 30 peratus kerusi diperuntukkan kepada calon wanita.

Katanya, hanya 13 peratus calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Terdapat kajian menunjukkan kepelbagaian jantina dan penyertaan wanita menyumbang kepada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Justeru kerajaan akan terus komited ke arah meningkatkan penglibatan wanita dalam peringkat kepimpinan selaras dengan sasaran 30 peratus yang ditetapkan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE