Beliau berkata, rakyat kini pandai menilai sesuatu isu yang timbul sama ada ia sengaja diada-adakan untuk tujuan dan kepentingan pihak tertentu.

"Biarlah, mahu serang (peribadi) pun seranglah. Masyarakat di sini tahu, mereka kenal saya dan apa isu yang saya buat?.

"Saya tidak terlibat dengan benda yang mengarut. Rakyat kini pandai menilai mana baik dan mana yang buruk," katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih di Kampung Taman Sedia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ramli berkata, pendekatan berbentuk fitnah dan tohmahan yang dilakukan parti pemerintah semasa berkempen adalah cara konvensional yang telah dilakukan mereka sejak waktu mereka pembangkang lagi.

Katanya, mereka sebenarnya tidak menghayati isu-isu tempatan yang dibangkitkan berbanding dirinya yang merupakan anak tempatan dan lebih arif tentang perkara itu.

"Sebab itu, kalau semua perasan, adakah saya buat seperti mereka? Tidak ada kerana saya masuk ke kampung, melawat, duduk, makan dan bersembang bersama penduduk bagi mengetahui masalah mereka.

"Daripada situ, kita boleh mengetahui isi hati mereka, contohnya di kampung Orang Asli, saya duduk, bercerita, dengar rungutan mereka dan apa yang mereka perlu begitu juga masyarakat di bandar," katanya. - UTUSAN ONLINE