SAZMI MIAH
SAZMI

Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Sazmi Miah berkata, beliau yakin, ramai wakil rakyat Kelantan, terutama BN akan bertindak keluar parti masing-masing pada masa depan.

Katanya, antara punca wakil rakyat berkenaan ingin meninggalkan parti ialah rasa tidak puas hati terhadap pemilihan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini selain hasrat ingin berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik bersama PH.

"Mereka ingat UMNO akan berubah selepas pemilihan namun muka lama masih di situ, jadi mereka bertekad mahu meninggalkan UMNO. Ini bukan wakil rakyat sahaja, tetapi bekas pemimpin serta pemimpin yang masih mempunyai jawatan.

"Kita terbuka dan tidak mengenakan sebarang syarat dan dalam masa sama, tidak menerima apa-apa syarat daripada mereka. Kita mengalu-alukan mereka keluar parti dan menjadi rakan kita. Tidak semestinya mereka perlu masuk Bersatu, PKR atau Amanah," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis kesyukuran sempena pelantikan Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di di Perol, Ketereh, di sini hari ini.

Khabar angin timbul sejak beberapa hari lalu mengatakan PH bakal mempunyai wakil rakyat tunggal di negeri ini apabila seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dijangka keluar parti dan menyertai Bersatu.

ADUN berkenaan dikatakan berbuat demikian dalam satu majlis yang dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Machang, esok. - UTUSAN ONLINE