Dua bekas Pesuruhjaya Pas Ne­geri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang juga bekas calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan Mohd. Taufek Abd Ghani, bekas calon Pas di DUN Paroi pada pilihan raya sama, kini menjadi penggerak utama GHB di negeri ini.

Zulkefly kini merupakan Pengerusi GHB negeri manakala Mohd. Taufek adalah Timbalan Pengerusi I.

Dalam sidang akhbar di Hotel Royale Bintang, dekat sini hari ini bagi memperkenalkan Ahli Jawatankuasa GHB Negeri Sembilan, Zulkefly berkata, agenda mereka adalah untuk meneruskan polisi Buku Jingga iaitu strategi membela kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Sebab itu konsep kita adalah amanah, progresif dan peduli,’’ ujarnya.

Tegasnya, GHB akan bersama-sama rakan pembangkang, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) de­ngan menggunakan nama baharu iaitu Pakatan Rakyat Baharu (PRB) untuk meneruskan agenda politik mereka.

“Kami tidak memburuk-burukan Pas. Parti ini hanya untuk memberi pilihan kepada rakyat memilih pemimpin mereka,” ujarnya.

Mengenai keahlian GHB, Zulkefly berkata, ia terbuka kepada semua tanpa mengira kaum mahupun agama.

“Kita membuka penyertaan ahli kepada sesiapa yang berminat tetapi dengan syarat mereka perlu bersetuju dengan perlembagaan kita. Sesiapa yang mahu menjadi ahli GHB, mereka perlu akur dan terima syariat Islam dalam pelaksanaan parti,” katanya.

Turut kelihatan dalam sidang akhbar itu ialah Yang Dipertua Pas Kawasan Seremban, MK Ibrahim A. Rahman, Basri Sawir (Yang Dipertua Kawasan Jelebu), Rais Basiron (Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Tampin) dan Sahrizal Masrudin (Ketua Pemuda Pas Kawasan Rembau).

Mereka juga telah mempunyai jawatan masing-masing dalam GHB.

MK Ibrahim adalah Timbalan Pengerusi II dan Basri pula merupakan Bendahari GHB, sementara Sharizal dilantik sebagai Ketua Anak Muda dan Rais sebagai Ketua Dana dan Pembangunan.