Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan sudah mencukupi untuk mendakwa pihak yang membuat hasutan.

Sehubungan itu, kata beliau, PH perlu terus komited untuk menghapuskan Akta Hasutan seperti yang telah dijanjikan.

“Ada peruntukan yang mencukupi di bawah Kanun Keseksaan untuk bertindak terhadap pelaku. Akta Hasutan kekal peninggalan masa lalu, yang mana kita telah nyatakan komitmen untuk dihapuskan,” katanya dalam kenyataan di laman Twitter miliknya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan telah bersetuju menarik moratorium terhadap beberapa akta yang sedang dalam kajian termasuk Akta Hasutan; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 (Akta 747); Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan jenayah 1959 (POCA).

Terdahulu, pihak polis turut mengesahkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo disiasat di bawah Akta Hasutan selepas didakwa memuat naik video yang menaikkan sentimen perkauman.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen turut mengecam tindakan menggunakan Akta Hasutan yang disifatkan sebagai satu tindakan regresif oleh kerajaan.

“Tidak menggunakan Akta Hasutan dan undang-undang menindas lain tidak bermakna kita menuju kekecohan. Penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan jenayah akan terus berlangsung. Cuma ia bermakna kerajaan menggunakan langkah yang lebih demokratik untuk mengendali ucapan hina (hate speech), hasutan dan kesalahan rusuhan,” katanya.

Pendapat sama turut dikemukakan aktivis undang-undang, Syahredzan Johan yang berpendapat kerajaan sebaliknya perlu mempercepat penggubalan undang-undang menyebarkan kebencian kaum dan agama.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut berpandangan terdapat undang-undang lain seperti Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk bertindak ke atas kesalahan yang dilakukan Papagomo.

“Dahulu NUCC (Majlis Konsultasi Perpaduan Negara) pernah kemukakan draf RUU (rang undang-undang) kebencian kaum dan agama. Boleh lihat semula RUU tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE