Itu kenyataan tegas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpendapat, kerajaan sekarang perlu ber­usaha melaksanakan agenda rakyat dan tidak perlu dicemari dengan kisah-kisah politik yang memualkan rakyat.

“Saya telah buat kenyataan tegas, hentikan semua perbincangan politik. Rakyat sudah muak dan penat.

“Rakyat telah buat keputusan bersejarah pada 9 Mei (tahun lalu) tapi keputusan itu adalah untuk kerajaan tumpu kepada pembangunan negara, mengurangkan kos sara hidup (dan) mengurangkan harga barang, bukan dia undi untuk kita bergaduh dalam politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat eksekutif baharu Dewan Perniagaan Amerika Syarikat-Malaysia (Amcham) di Faber Imperial Court, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin turut menjelaskan salah faham umum tentang lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau berkata keutamaan perlu diberi kepada golongan profesional namun menegaskan bahawa tidak bermakna ahli politik tidak boleh dilantik langsung.

“Jika ada ahli politik yang mempunyai merit dari segi kemahiran dan kelayakan, boleh dipertimbangkan tetapi bukanlah keutamaan.

“Ada juga ahli politik yang profesional dalam kalangan akauntan, jurutera, arkitek yang boleh menyumbang kepada pembangunan GLC yang berkenaan. Namun tidak boleh dalam kalangan pihak eksekutif,” katanya.