Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu telah menggunakan prinsip matlamat menghalalkan cara semata-mata mahu agenda peribadinya tercapai.

Beliau berkata, dalam isu pemecatan Anwar, fakta dan sejarah amat jelas malah orang ramai dapat menilainya sendiri.

“Polis sendiri telah menafikannya. Orang yang terlibat secara langsung juga telah meni­dakkan kenyataan Dr. Mahathir yang akhirnya orang akan dapat menilai sendiri kerana apa yang dilakukannya adalah matlamat menghalalkan cara.

“Susah orang nak percaya apa yang dia cakap sekarang. Saya tengok Dr. Mahathir, lebih ba­nyak dia bercakap lebih baik untuk kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Pertahanan Bersama Warga Desa Pahlawan dan Perasmian Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Mustapa Moha­med; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Beliau turut meninjau 384 unit RKAT yang siap dibina pada Oktober tahun lalu dengan kos RM97.52 juta.

Ahad lalu, bekas Perdana Menteri itu dalam wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina mendakwa beliau memecat Anwar kerana didorong oleh pihak polis.

Bagaimanapun perkara tersebut dinafikan oleh Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu ekstrem dalam berpolitik sehingga boleh menggadai negara.

“Saya tahu ada pihak di luar sana yang mengintai kita bukan sahaja kuasa asing tetapi pihak yang lebih ganas lagi untuk melihat negara kita tidak stabil dan padu.

“Apa penting ialah kita jaga rumah tangga kita. Tiada apa yang boleh menidakkan kita kalau kita bersatu. Sama juga dengan politik, ‘jangan menang sorak, tetapi kampung tergadai’,” katanya.