Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana Singapura juga mempunyai skim se­perti BR1M yang diberi nama GST Voucher dan dibayar setiap tahun.

“Untuk tahun 2018, Singapura membayar SGD1 bilion (RM3 bilion) kepada 1.6 juta warganegara yang berpendapatan SGD28,000 setahun dan ke bawah iaitu purata SGD625 (RM1,875) seorang.

“Saya hendak tanya Azmin, adakah kerajaan Singapura telah gagal ataupun mereka membeli atau memanjakan rakyat mereka juga kerana mereka ada skim se­perti BR1M,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam ketika mem­­bahaskan titah ucapan Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Se­langor, Mohamed Azmin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menentang pemberian BR1M kerana prinsip salah dan mengandungi elemen rasuah politik.

Menurut Najib, beliau percaya Mohamed Azmin keliru dengan kefahaman konsep ekonomi dan matematik.

“Pada setiap masa, golongan B40 memang akan wujud. Ini konsep matematik asas.

“B40 bermakna kumpulan rakyat berpendapatan 40 peratus paling rendah. Oleh itu, ini tidak bermakna jika kesemua golongan B40 dipertingkat menjadi M40 maka tiada lagi kewujudan golongan B40,” katanya.

Tambah beliau, tujuan utama BR1M ialah satu kaedah pengagihan semula pendapatan daripada golongan 60 peratus kumpulan terkaya kepada golongan 40 peratus pendapatan terendah dan sebagai penggerak ekonomi terutama di luar bandar atau di bandar kecil.

“Itu tujuan sebenarnya dan pen­ting dalam mengurangkan jurang pendapatan di Malaysia antara yang kaya dengan miskin dan bandar dengan luar bandar,” katanya.