Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, banyak peristiwa yang boleh dijadikan contoh bagaimana hasutan pembangkang akhirnya merugikan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, contoh terdekat ialah projek Residensi Kerinchi 18 tingkat yang dibina bagi menggantikan flat empat tingkat di Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur.

"Sebanyak 35 daripada lebih 300 penghuni yang termakan hasutan pembangkang telah bertindak membawa kes itu ke mahkamah dan kalah.

"Projek itu telah siap dan ia kini bernilai setengah juta berbanding rumah flat asal kira-kira RM50,000," katanya ketika berucap merasmikan secara berkelompok mesyuarat cawangan-cawangan UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang, dekat sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Menurut Noh, 35 orang yang menentang projek itu telah datang dan merayu agar mereka diberikan peluang memiliki pangsapuri yang cantik dan lengkap pelbagai kemudahan.

Tambahnya, pengajaran daripada kes itu ialah rakyat sendiri yang menanggung rugi jika mereka mudah diperdaya oleh hasutan pembangkang.- UTUSAN ONLINE