Samsolbari Jamali
Samsolbari Jamali 

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Johor juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali berkata, Osman tidak pernah keluar bertanding luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas yang terletak di Bahagian Pulai semasa beliau masih bersama-sama UMNO mahu pun sebagai calon pembangkang pada PRU-14.

Justeru, beliau menyerahkan kepada masyarakat untuk melihat dan menilai bagaimana janji serta fokus kepada penduduk setempat.


“Saya rasa mungkin ia adalah cubaan untuk memberi kekuatan kepada Bersatu di Ayer Hitam, tetapi pada masa sama, masyarakat tempatan bertanya, kenapa pula seorang Menteri Besar yang menang dalam satu DUN di kawasan Kempas dan berada di situ untuk sekian lama, tiba-tiba menjadi Ketua Bahagian di tempat lain?


“Jadi, saya serahkan kepada masyarakat untuk menilai, bagaimana janji dan fokus beliau untuk jaga orang tempatan selain orang turut melihat hubungan dia dengan Bersatu Bahagian Pulai, adakah dia tidak diterima di situ,” katanya selepas program Revolusi Minda Anak Bangsa anjuran UMNO Bahagian Pulai di sini semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pelantikan Osman sebagai Ketua Bahagian Ayer Hitam seperti diumumkan Setiausaha Agung Bersatu yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya pada Konvensyen Bersatu Johor pada tahun lalu.


Dalam pada itu, Samsolbari berkata, beliau percaya Osman mungkin menganggap Ayer Hitam sebagai satu kawawasan yang mudah kerana tidak mempunyai pemimpin pembangkang yang lebih baik dan berkaliber sekali gus mengalu-alukannya ke tempat itu.


Tambahnya, itu juga hak Osman untuk menjadi mana-mana sahaja Ketua Bahagian dan UMNO tidak boleh menghalangnya.


“Biar masyarakat yang menilai, cuma kita harap rakyat dan masyarakat berlaku adil dengan kita, betul kata betul, salah kata salah, baik kata baik, tak baik kata tak baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE