Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia tidak seharusnya dicemari dengan sebarang spekulasi, khabar angin tidak sahih, dipolitikkan atau apa-apa tindakan yang tidak santun.

"UMNO menyatakan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Majlis Raja-Raja dalam tradisi dan hal ini. Justeru, UMNO mengecam keras sebarang tindakan bersifat menangguk di air yang keruh.

"Malah, UMNO ingin menyeru bukan saja orang Melayu, tetapi seluruh bangsa Malaysia untuk bersama-sama menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja-Raja Melayu.

"Selaku warga negara yang menjunjung Rukun Negara, marilah kita semua menghormati kedaulatan institusi itu dengan taat dan setia," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamad yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, parti itu mendoakan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong akan berjalan lancar dan baik.

Ujarnya, parti tersebut turut akur dan menghormati keputusan Sultan Muhammad V untuk berundur dan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

"UMNO mengambil kesempatan ini menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas naungan serta kepimpinan yang diberikan sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong," katanya. - UTUSAN ONLINE