Penganalisis politik di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, negara diibaratkan seperti berdiri di atas arang yang rapuh sekiranya gabungan pembangkang PKR berjaya mencapai cita-cita mereka untuk menjadi sebuah kerajaan.

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di peringkat asas lagi seperti mana yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini. Pergolakan di peringkat parti akan memberi impak negatif dan menyusahkan rakyat di kemudian hari.

“Bagaimana hendak mentadbir negara dengan pergeseran sesama ahli parti hanya disebabkan perbezaan pendapat tidak dapat diselesaikan. Kemelut antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan betapa lemahnya pentadbiran dalam parti itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Izani, kem PKR ketika ini seolah-olah dilanda ribut kerana pertembungan antara Mohamed Azmin dan Wan Azizah yang mahu meluaskan pengaruh mereka di peringkat akar umbi.

Katanya, pengalaman sebagai Menteri Besar membuatkan Mohamed Azmin yakin mampu mengatasi pengaruh Wan Azizah dari segi sokongan ahli parti.

“Sikap bermuka-muka ini dapat dilihat sejak dari berlakunya langkah Kajang kerana pemimpin tertinggi PKR hanya mahukan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Sebaliknya, Mohamed Azmin yang dicadangkan Pas pula dipilih untuk mengisi jawatan tersebut.-UTUSAN ONLINE