Menurut Guan Eng, pelantikan itu dibuat selepas mendapat kelulusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Raja Azmi sebelum ini telah memangku jawatan tersebut selama enam bulan iaitu bermula 23 Jun tahun lalu.

“Raja Azmi menyertai MAHB sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 1 Februari 2016 dan selepas itu memegang jawatan selaku Pengarah Eksekutif UDA Holdings Berhad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, pelantikan Raja Azmi adalah bertepatan dan seiring dengan keperluan syarikat pada masa ini yang mengalami peningkatan ketara dalam jumlah pengguna lapangan terbang di Malaysia

Katanya, pelantikan tersebut juga selaras dengan aspirasi MAHB untuk menjadikan lapangan-lapangan terbang di Malaysia sebagai pilihan syarikat penerbangan dan pelancong di rantau ini dalam suasana persaingan yang tinggi.

“Dengan pelantikan ini, adalah diyakini bahawa beliau berupaya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan serta operasi MAHB dapat diteruskan dan dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Raja Azmi mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pentadbiran perniagaan dan perakaunan serta mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Bath, United Kingdom (UK).

“Raja Azmi sebelum ini juga pernah menjadi Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif di Zelan Berhad, Pengarah Kewangan Kumpulan UEM Group Berhad, dan Pengarah Eksekutif di Time Engineering Berhad selain memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan Tronoh Consolidated Malaysia Berhad,” katanya. - UTUSAN ONLINE