Abdul Rahman Dahlan

Abdul Rahman berkata, pada masa ini, beliau dinasihatkan oleh peguamnya bahawa tempoh surat tuntutan tersebut masih belum matang.

Beliau menjelaskan, peguam­nya, Tetuan Raja Riza & Associa­tes telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 5 Januari 2018 kepada Rafizi melalui serahan secara pos berdaftar dan tangan pada hari sama.

“Serahan secara kediri pada hari tersebut gagal berikutan Rafizi tiada di pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.

“Cubaan serahan secara tangan buat kali kedua telah dilakukan semalam di alamat sama, namun Rafizi masih tiada di pejabatnya. Oleh yang demikian, surat tuntutan tersebut telah diterima oleh Mohd. Shariffudin dipercayai kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahman bertindak menyaman Rafizi selepas Ahli Parlimen Pandan itu menamakan pemilik syarikat yang menganjurkan Expo Negaraku tahun lalu, Raslan Dahlan sebagai abangnya.

Menurut Abdul Rahman, surat tuntutan itu menuntut antara lainnya supaya Rafizi menarik balik kenyataan yang telah dibuat dan menerbitkan permohonan maaf terhadapnya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan tersebut.

“Sekiranya Rafizi gagal untuk mematuhi surat tuntutan tersebut dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, saya akan mengarahkan peguam saya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi,” katanya.