Menerusi status bergambar­ di Facebook, Penasihat Undang-undang PKR, Latheefa Koya mendedahkan kewujudan ku­pon sarapan serta makan te­ngah hari bertarikh 14 Oktober iaitu hari pemilihan PKR Sela­ngor peringkat satu berlangsung, yang dikaitkan dengan bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

LATHEEFA KOYA
LATHEEFA KOYA 

Pada kupon itu tertera nama Rafizi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor yang bertanding jawatan Ketua Cabang Subang.

Gambar kupon itu disertakan dengan ayat berbaur sindiran ‘kalau nak dapatkan kupon- kena undi aku dulu’ dan #akusucidalamdebu.

Semalam, Rafizi mendakwa ahli parti itu ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap undi untuk calon tertentu dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung.

Dalam pemilihan PKR Sela­ngor peringkat satu yang dijalankan Ahad lalu, Mohamed Azmin memperoleh undi yang lebih tinggi iaitu 9,337 undi mengatasi Rafizi yang mendapat 8,563 undi, manakala Shatiri kalah kepada R. Sivarasa yang berjaya mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Cabang Subang.

Sementara itu, Shatiri ketika dihubungi mengakui kupon itu memang wujud, namun itu bukan kupon bersyarat seperti didakwa.

“Kupon memang ada, kita edarkan untuk kemudahan pe­ngundi mengambil makanan, tetapi itu tidak ada syarat untuk undi sesiapa pun.

“Satu penipuan kalau dikatakan kita edar untuk pengaruhi pengundi, undi siapa pun kita tidak kisah,” katanya.