Malah Rafizi sendiri meng­akui kesilapan tersebut dan te­lah memadamkan turun segala bahan di laman-laman media sosial di bawah kendaliannya yang mengaitkan Abdul Rahman mempunyai pertalian darah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibit Sdn. Bhd., Nor Raslan Mohd. Dahlan.

Ahli Parlimen Pandan itu pada masa sama memohon maaf kepada Nor Raslan tetapi sebaliknya enggan membuat perkara yang sama terhadap Abdul Rahman kerana mendakwa menteri itu mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Saya sedia meminta maaf terhadap Raslan, tetapi bukan Abdul Rahman,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, dengan video sidang akhbar itu turut dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Rafizi bagaimanapun tetap mempertahankan dirinya yang mencetuskan pelbagai isu mengenai pameran tersebut, termasuk mempertikaikan kaedah penganugerahan kontrak serta kredibiliti Pico Integrated Exhibit.

Malah beliau menyatakan dirinya sedia menerima tindakan saman daripada Abdul Rahman, namun bersungguh-sungguh men­jelaskan terdapat beberapa faktor di dalam perundangan yang menyebabkan beliau yakin ber­depan tindakan undang-undang tersebut.