Rafizi sebaliknya mendakwa isu kenaikan kos sara hidup serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah sebab utama Pakatan Harapan dapat meruntuhkan tembok Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14. 

Beliau memetik laporan tinjauan pasca PRU-14 yang dilakukan oleh Invoke Malaysia yang mendapati bahawa rakyat lebih terkesan dengan dua isu tersebut berbanding pengaruh Dr. Mahathir yang kini merupakan Perdana Menteri. 

“Pada akhirnya, isu terbesar adalah isu punca pendapatan. Ia adalah mengenai GST, lebih mengatasi isu-isu lain.

“Selain itu, walaupun Dr. Mahathir menang besar sebelum ini di Kedah, kali ini Pas yang menang besar di Kedah. Ini bermakna, untuk pengundi Melayu, jika mereka perlu memilih antara PPBM yang dipimpin Dr. Mahathir atau Pas, mereka akan pilih Pas,” katanya seperti dilaporkan portal The Malaysian Insight, Ahad lalu. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali menyifatkan kelantangan Rafizi terhadap kepemimpinan Dr. Mahathir baru-baru ini sebagai ‘kurang strategik’ untuk permuafakatan dalam Pakatan Harapan. 

“Mungkin tegur-menegur satu budaya baharu politik Malaysia era Pakatan Harapan namun biarlah kena pada masa dan keadaan.

“Salah teguran atau kritikan boleh menimbulkan keresahan rakyat dan boleh menggugat keharmonian pakatan politik yang sudah sedia wujud ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE