Kini, reputasi buruk Ahli Parlimen Pandan itu dilihat sudah menjadi liabiliti kepada PKR serta Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Mungkin disebabkan faktor itu program Jelajah Bina Semula Negara anjuran pusat kaji selidik pembangkang, Invoke Malaysia diketuai Rafizi kurang mendapat sambutan.

Bertempat di Tanah Putih Baharu di sini hari ini, program yang bermula pukul 5 petang hanya dihadiri kira-kira 150 orang.

Selain Rafizi, turut berucap pada program itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Rafizi dalam ucapannya seperti biasa membangkitkan isu sama terutama berhubung syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Selain itu, program itu hanya dijadikan medan kepada Rafizi untuk terus menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Naib Presiden PKR itu turut mendakwa akan mendedahkan satu lagi isu mengaitkan Najib pada sidang Dewan Rakyat pada minggu depan.

Katanya, skandal itu membabitkan isu tanah di Jalan Tun Razak yang dikendalikan 1MBD.

"Saya akan ulas dan sembang di Parlimen pada minggu depan...jadi ingatkan Yang Berhormat Pekan (Najib) jangan  kecut datang Parlimen.

“Setiap kali saya usulkan sesuatu, Yang Berhormat Pekan selalu tak ada, harap minggu depan Pekan ada di Parlimen,” katanya. - UTUSAN ONLINE