Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, dakwaan Ahli Parlimen Pandan itu bahawa rekod hakim mahkamah syariah terlibat dengan rasuah adalah lebih tinggi daripada hakim mahkamah sivil merupakan tuduhan serius.

Katanya, sedangkan semenjak mahkamah syariah ditubuhkan, hanya satu sahaja kes seorang hakim syarie yang disabitkan dengan kesalahan rasuah dan itu pun bukan melibatkan jumlah wang yang banyak.

“Sebab itu, kenyataan Rafizi tersebut telah menjatuhkan martabat mahkamah syariah dan menjatuhkan maruah sahabat-sahabat kami hakim-hakim syariah.

“Oleh yang demikian, PGSM meminta Rafizi menarik balik dakwaan dan kenyataan tidak berasas tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada semua hakim-hakim syariah dan seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.

PGSM berkata demikian sebagai reaksi kepada video ucapan Rafizi yang tular pada 12 April lalu mengatakan rekod hakim mahkamah syariah terlibat dengan rasuah adalah lebih tinggi daripada hakim mahkamah sivil.

Sementara itu, tambah Musa, PGSM percaya bahawa hakim-hakim mahkamah syariah berpegang kepada nas-nas agama dalam menjalankan tugas mereka, takwa serta percaya kepada balasan akhirat yakni syurga dan neraka, mengatasi imbuhan dunia yang sedikit.


“Peguam syarie sebagai sahabat mahkamah sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada hakim syarie untuk menjauhi perkara-perkara seperti yang didakwa oleh Rafizi,” jelasnya.

habis