Menjadikan projek kereta nasional ketiga sebagai subjek tegurannya, Rafizi yang juga calon Timbalan Presiden PKR ternyata memberi dimensi baru dalam Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini masih dalam nikmat berbulan madu.

Menariknya, kenyataan beliau meminta kerajaan menimbang semula projek tersebut turut disahut Nurul Izzah Anwar, seorang lagi pemimpin PKR yang dilihat dekat dengan kem Rafizi dalam berdepan cabaran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kerusi nombor dua PKR.

Dirancang atau kebetulan, perkembangan itu memang cukup signifikan apatah lagi setiap yang berlaku dalam politik terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Malah, Rafizi yang tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan mempertahankan tindakannya menegur kepemimpinan kerajaan semalam dan dalam laman Twitter itu, beliau sempat mengingatkan yang sikap tidak boleh terima teguran adalah budaya UMNO.

Berada dalam ruang lingkup pemilihan parti, setiap tindak-tanduk beliau pastinya ditafsirkan menjurus kepada usaha memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR. Justeru, ramai yang mentafsir Rafizi sedang memberi isyarat kepada seluruh ahli PKR yang akan membuat perhitu­ngan nanti.

Pada ketika ini, calon Timbalan Presiden PKR itu bersedia menunjukkan yang beliau tidak akan mengiyakan segala yang datang daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan PH.

Persoalannya, apakah itu faktor penting kepada ahli PKR? Apakah rapat dengan Perdana Menteri sehingga diberi kepercayaan mendapat jawatan kanan dalam kerajaan adalah satu kelebihan untuk memenangi jawatan dalam PKR atau sebenarnya merupakan satu kekura­ngan.

Pada masa ini, nampaknya Rafizi memilih untuk mengkritik kepemimpinan kerajaan PH di laman sosial dan teguran bekas Ahli Parlimen Pandan itu tidak mungkin akan terhenti setakat status Twitter semalam.

Sedangkan setiap kali beliau mengkritik kerajaan di media sosial, jarak beliau dengan kepemimpinan utama kerajaan PH akan dilihat bertambah renggang sikit demi sedikit. Mungkinkah itu strategi berkesan?