Naib Presiden PKR itu mengakui tersilap menamakan Pengarah CRT Insights Technologies Sdn. Bhd., Florence Goh yang terletak di Jalan Molek 2/1, Taman Molek, Johor Baru dalam isu itu.

Permohonan maaf itu walau bagaimanapun hanya dibuat selepas Florence atau nama sebenarnya, Goh Siew Boy menafikan yang syarikatnya dan beliau terlibat dalam dakwaan berkenaan melalui sidang akhbar hari ini.

Dalam kenyataan permohonan maaf itu, Rafizi mengesahkan bahawa Goh Siew Boy dari CRT Insights Technologies Sdn. Bhd. bukanlah Florence Goh sebagai Pengarah Godfrey Group Ltd. yang didakwanya terlibat dalam kontrak melobi itu, sebaliknya menamakan pula individu lain iaitu Goh Swee Gaik sebagai pengarah syarikat yang dimaksudkan itu yang terletak di Jalan Molek 2/3, Taman Molek, Johor Baru.

Beliau memberi alasan perbezaan alamat satu nombor iaitu 2/1 berbanding 2/3 menyebabkan kekeliruan itu dan selepas siasatan ‘segera’ sekali lagi dibuat barulah beliau tersedar mengenai perkara tersebut.

Dalam sidang akhbar pada pagi ini di Putrajaya, Florence menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai syarikat Godfrey Group Ltd. sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan pengarah syarikat tersebut seperti mana yang terdapat dalam dokumen didedahkan Rafizi baru-baru ini.

“Pada mulanya saya tidak tahu nama saya dikaitkan dalam hal ini sebelum seorang wartawan dari portal berita menghantar emel kepada saya pada Sabtu untuk menanyakan soalan berhubung dakwaan yang dibuat oleh Rafizi, namun saya abaikan kerana anggap itu emel palsu.

“Walau bagaimanapun pada Ahad ketika membuka laman sosial Facebook saya terkejut apabila terlihat satu kenyataan daripada Facebook We Fully Support Pakatan Harapan berhubung perkara itu serta menamakan saya sebagai Pengarah Godfrey Group Ltd.,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Dalam pada itu Siew Boy ketika dihubungi mengenai permohonan maaf Rafizi berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pandan itu kerana membersihkan namanya, tetapi menegaskan beliau perlu menilai kesan sampingan terhadap perniagaannya sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat oleh Rafizi amat berat kerana boleh memberi kesan kepada syarikatnya yang menjalankan perniagaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejak 10 tahun lalu.