Keputusan itu diumumkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas Rafizi disabitkan dengan kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan.

Bagaimanapun timbul persoalan sama ada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dirundingkan terlebih dahulu atau tidak oleh Wan Azizah sebelum beliau mengumumkan pelantikan Saifuddin Nasution.

Malah, ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Wan Azizah bukan sahaja tidak menjawab, sebaliknya bertanya kembali kepada wartawan yang melontarkan persoalan dengan bertanya daripada organisasi mana.

Ironinya, ketika bercakap dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR mengenai peletakan jawatan Rafizi dan mengumumkan pelantikan Saifuddin Nasution, Wan Azizah boleh pula memaklumkan beliau sudah ber­bincang mengenai perkara itu dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Siapa yang bertanya soalan tadi? Awak siapa? Daripada mana? Patutlah duduk di belakang sekali,” kata Wan Azizah yang seolah-olah tidak selesa apabila nama Moha­med Azmin dibangkitkan wartawan.

Wan Azizah diketahui umum tidak mempunyai hubungan yang mesra dengan Mohamed Azmin dan pelantikan Saifuddin Nasution juga dipercayai dibuat bagi mengekang pengaruh timbalannya itu.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, adalah tidak wajar untuk beliau terus memegang jawatan Setia­usaha Agung selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara kerana langkah sedemikian ha­nya akan menyusahkan pengurusan parti.

Menurutnya, bagi jawatan Naib Presiden pula, keputusan sama ada untuk melepaskannya atau terus memegang bergantung kepada rayuan terhadap hukuman yang diterimanya.

“Setiausaha Agung ini jawatan dilantik dan ia melibatkan pengurusan parti, jadi wajar untuk saya lepaskan tetapi Naib Presiden ini, saya dipilih oleh ahli, jadi kena tunggu keputusan rayuan saya dahulu macam mana,” katanya.