Rafizi buat pertama kali telah berjaya memintas lawannya de­ngan kelebihan 48 undi selepas pengundian di enam negeri, namun kemudian dikatakan Mohamed Azmin kembali mendahului sebanyak tiga undi selepas kiraan semula dilakukan meskipun belum dianggap rasmi.

Namun kemampuan Rafizi mengecilkan jurang daripada perbezaan 700 undi kepada kini hanya tiga undi adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.

Kem Mohamed Azmin kini dilihat lebih berhati-hati dengan cabaran Rafizi, terutama selepas bekas Ahli Parlimen Pandan itu menang di Wilayah Persekutuan dan kemungkinan angin kemenangan itu boleh berpindah ke negeri jiran, Selangor yang mempunyai ahli PKR sekitar 400,000 orang.

Menjelang Pemilihan PKR Pe­ringkat Selangor fasa 1 pada Ahad ini, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berpandangan, sokongan terhadap Rafizi di negeri itu semakin kuat sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini,

“Menggunakan trak miliknya, Rafizi pergi ke semua tempat di Selangor. Ramai anak-anak muda kini telah menyokong beliau. Awak tunggu sahaja keputusan pada Ahad nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, seorang daripada ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang tidak mahu dikenali membayangkan Mohamed Azmin mampu mele­barkan lagi jurang undiannya mengatasi Rafizi di Selangor.