Bagaimanapun Rafizi tetap menerima keputusan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menolak untuk berdebat secara terbuka dengan beliau sempena pemilihan PKR kali ini.

Katanya, budaya debat adalah sesuatu yang menyuburkan demokrasi dan jangan sesekali menggunakan prinsip berlainan dalam soal tersebut, memandangkan UMNO yang sering diejek dahulu juga melakukan proses sama semasa pemilihan parti itu baru-baru ini.

“Keputusan Azmin menolak berdebat secara terbuka perlu dihormati, walaupun proses itu adalah amalan yang sudah lama dipraktikkan di dalam parti.

“Bagi saya, budaya debat adalah sesuatu yang menyuburkan demokrasi dan kita tidak boleh menggunakan prinsip berlainan dalam hal ini kerana dahulu kita sering mengejek Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan UMNO kerana tidak berani berdebat dan melihat sebagai satu kelemahan mereka kerana tidak mampu berdebat dengan kita.

“Namun, apabila sampai pula ke parti kita tiba-tiba prinsip itu tidak terpakai di dalam parti dengan alasan tidak baik dan debat adalah satu budaya kolot pembangkang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas program penerangan Reformasi 20 Tahun di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin menolak cabaran Rafizi yang juga Naib Presiden PKR untuk berdebat menjelang pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dilaporkan berkata, tidak ada kewajaran untuk debat berkenaan dilaksanakan memandangkan perebutan jawatan Timbalan Presiden antaranya dengan Rafizi membabitkan hal parti.- UTUSAN ONLINE