Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, bekas Ahli Parlimen Pandan itu telah membuktikan kredibilitinya sehingga menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden PKR sekali gus mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti itu bulan ini.

Katanya, ketika ini terpulang kepada ahli-ahli PKR untuk menentukan siapa individu paling layak menyandang jawatan nombor dua parti berkenaan yang kini menjadi komponen terbesar Kerajaan PH.

"Walaupun kedua-duanya ada reputasi hebat, Mohammed Azmin pernah menjadi Menteri Besar Selangor manakala Rafizi buktikan mampu bawa arus perubahan dalam tempoh singkat, saya tidak fikir sukar untuk ahli pilih," katanya, di sini hari ini.

Pemilihan PKR kali ini menarik perhatian berikutan parti itu kini memegang tampuk pentadbiran negara selain turut diselubungi pelbagai isu termasuk dakwaan kewujudan dua kem.

Ditanya berada di dalam pasukan mana, Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata, beliau merupakan antara yang terlibat bersama Rafizi menawarkan diri bertanding Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.

"Pada masa sama, saya masih Ahli Majlis Pimpinan PKR negeri selain mahu fokus untuk mempertahankan jawatan peringkat cabang kerana khabarnya wujud pertandingan," katanya. - UTUSAN ONLINE