Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Bersatu tidak pasti sama ada bekas veteran UMNO itu akan memegang sebarang jawatan tertinggi dalam parti tersebut.

“Kami mengalu-alukan Rafidah. Beliau telah bekerjasama untuk tempoh yang lama dengan kami.

“Jawatan? Tidak tahu tapi beliau akan menjadi ahli Bersatu,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada menawarkan sebarang jawatan kepada Rafidah selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir mengakui perbincangan mengenai projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bukan perkara mudah, namun kerajaan akan memastikan ia terus diadakan sehingga berjaya mencapai matlamat.

“Saya tidak tahu berapa lama rundingan tersebut. Saya (juga) tidak tahu kemajuan (perbincangan),” katanya selepas ditanya mengenai tempoh perbincangan antara kerajaan PH dengan China. - UTUSAN ONLINE