Pesuruhjaya Pas negeri, Fauzi Mohd. Yusof berkata, keputusan tiga Pas kawasan iaitu Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Bayan Baru yang menolak kerjasama politik dengan PKR adalah disebabkan berlaku pelbagai isu yang dianggap telah melanggar syarat-syarat tahaluf siyasi oleh parti berkenaan selaku rakan Pas.

Tambahnya, pelanggaran berkenaan termasuk campur tangan politik terhadap proses fatwa di negeri ini, selain sikap PKR yang dilihat 'keberatan' untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang diperjuangkan Pas sejak sekian lama.

“Pada masa sama, sikap PKR yang bersama DAP dan parti-parti pembangkang lain yang sering menikam Pas dari belakang juga menyebabkan beberapa Pas kawasan mengemukakan usul memutuskan hubungan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Pas Kawasan Permatang Pauh yang selama ini menjadi 'tulang belakang' PKR di negeri ini untuk mendapat sokongan politik di situ membuat keputusan memutuskan kerjasama politik yang terjalin sejak sekian lama selepas kecewa dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang berdolak-dalik berhubung RUU 355.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, usul berkenaan yang dikemukakan dalam Mesyuarat Tahunan Pas Kawasan semalam dan mendapat undian sebulat suara juga disebabkan PKR mempergunakan Pas termasuk memujuk ahli mereka keluar parti.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata, usul memutuskan tahaluf siyasi itu merupakan perkara dasar Pas yang meletakkan perjuangan Islam sebagai asas.

“Perkara dasar berada di bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama Pas Pusat dan badan itu mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan setelah melalui beberapa proses," katanya. - UTUSAN ONLINE