Ketuanya, Normala Rasik berkata, melalui kerjasama itu, aktiviti JR Plus akan lebih meluas dan holistik dalam mendekati rakyat sekali gus membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Menurut beliau, selain kerjasama dengan Sayap UMNO yang lain, kolaborasi juga boleh diwujudkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan sokongan rakyat kepada parti kekal kukuh.


“Dalam kita mahu mendekati pengundi kita memerlukan jentera yang besar bagi memastikan peranan JR Plus itu sampai kepada rakyat.


“Melalui kerjasama ini, saya yakin usaha mendekati rakyat akan lebih mudah sekali gus berjaya membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka beliau di kediamannya di sini hari ini.


Mengulas mengenai persiapan PRU14, Normala berkata, Puteri UMNO Sabah berada dalam keadaan siap siaga membantu jentera pilihan raya membawa kemenangan kepada BN.


Walaupun dilihat PRU14 sebagai pilihan raya mencabar, beliau optimis, kerja keras Puteri UMNO pasti akan membuahkan hasil dan BN berupaya mengekalkan kemenangan seperti PRU13.


“Oleh itu, saya mengingatkan jentera Puteri UMNO supaya tidak leka dan lalai sebaliknya berterusan mendekati rakyat serta mendampingi golongan muda,” katanya. - UTUSAN ONLINE.