Ketuanya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, dengan kefahaman tentang isu, hujah yang jelas dan penyampaian yang berkesan, kumpulan ini boleh menjadi kekuatan kepada parti.

"Jurucakap ini akan menjadi kekuatan utama dalam berhujah dengan pihak pembangkang bukan sahaja di media sosial malah secara berhadapan.

"Sehubungan itu, program penerangan yang berkala di peringkat bahagian akan dipertingkatkan.

"Saya mahu semua puteri bahagian mencontohi apa yang dilakukan oleh Pergerakan Puteri Hulu Terengganu yang mencapai tahap tertinggi dalam usaha menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perjumpaan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Puteri UMNO negeri, Erni Salwani Saidi dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozita Ismail.

Menyentuh tentang isu calon wanita muda dalam PRU-14, beliau telah berjumpa dan memaklumkan hal ini kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mencalonkan mereka yang layak.

"Saya berharap adanya calon wanita muda dari kalangan Puteri tetapi tetap akan akur dengan keputusan peringkat tertinggi yang saya yakin amat memahami aspirasi wanita,"katanya. - UTUSAN ONLINE