Jurucakap Publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika dihubungi berkata, beliau menyifatkan tindakan jijik dipercayai dilakukan oleh Cyber Trooper (cytro) pembangkang itu juga mendedahkan hipokrasi pemimpin mereka yang sering “berlagak suci”.

Beliau menjelaskan, cytro pembangkang adalah alat untuk mempromosikan “kesucian” mereka dan bagi mengukuhkan lagi imej tersebut, kelompok berkenaan akan memburuk-burukkan pemimpin parti lawan khususnya daripada MCA dan UMNO.

Jelas beliau, ini terbukti melalui tindakan memutar belit keramahan Ahmad Zahid dengan menggambarkannya sama seperti kemesraan tuan seekor anjing terhadap haiwan peliharaannya itu.

Tambah beliau, tindakan berkenaan juga mendedahkan kedangkalan pemikiran dan pemahaman kelompok berkenaan terhadap budaya masyarakat negara ini.

Kata beliau, kedangkalan itu turut membuktikan pemimpin pembangkang gagal mengawal dan mendidik dengan baik alat proganda mereka sehingga bebas melakukan apa sahaja asalkan dapat menjatuhkan maruah pemimpin parti-parti komponen kerajaan.

“Hipokrasi pemimpin pembangkang dapat dilihat melalui cara mereka menggambarkan tindakan kerjasama antara DAP, PKR dan PAN sebagai usaha untuk melindungi kepentingan orang Cina.

“Namun, apabila MCA berbaik dengan UMNO parti itu dituduh mengkhianati orang Cina,” kata beliau.

Lian Ker dalam masa sama mendakwa, kebiadapan cytro pembangkang semakin ketara sejak wujudnya Pakatan Harapan yang dianggotai oleh DAP, PKR, PAN dan PPBM yang dipimpin oleh beberapa bekas pemimpin UMNO.

Jelas beliau, taktik politik toksik yang digunakan itu seolah-olah mendapat restu daripada para pemimpin Pakatan Harapan asalkan agenda politik mereka tercapai.

“Cytro pembangkang bagaikan ada “payung” yang melindungi mereka serta memanipulasi pemikiran penyokong sehingga mereka berani biadab terhadap pemimpin seperti apa yang dilakukan terhadap Ahmad Zahid.

Beliau yang amat kesal dengan kebiadapan tersebut menasihatkan rakyat agar membuka mata dan melihat wajah sebenar pembangkang agar tidak lagi diperkotak-katikkan. - UTUSAN ONLINE