Beberapa isu yang sebelum ini dijadikan sebagai ‘modal politik’­ oleh kepemimpinan pakatan itu untuk menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat digunapakai dalam bajet alternatif me­reka.

Berikutan itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To mendedahkan beberapa pusingan-U yang dibuat pakatan itu menerusi bajet alternatif tersebut.

1) Subsidi petrol

Pakatan Harapan diketuai DAP sering mengkritik keputusan kerajaan BN menarik semula subsidi bahan api itu untuk mengurangkan pembaziran, penyeludupan dan subsidi yang tidak efisien.

Walaupun dalam bajet alternatif pakatan memperkenalkan subsidi 20 sen seliter tetapi hanya terhad kepada motosikal dan kereta di bawah 1,000cc dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan sah.

Indikasi ini jelas menunjukkan bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP kini bersetuju dengan keputusan berani BN untuk memansuhkan subsidi petrol yang merupakan langkah te­pat kepada negara.

2) Subsidi gula

Pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai DAP menye­rang BN selepas kerajaan memutuskan untuk memansuhkan subsidi gula empat tahun lalu atas faktor kesihatan seperti kadar diabetes dan obesiti yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Mereka menolak alasan itu, sebaliknya mendakwa kerajaan bersikap zalim terhadap rakyat dan mengutamakan kronisme.

Tetapi hari ini, pakatan itu menggunapakai alasan serupa dengan BN yang sebelum ini ditolak secara agresif.

3) Mansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP membuat pusingan-U apabila tidak akan memansuhkan PTPTN dan pinjaman pelajaran yang lain.

Meskipun sebelum ini, pakatan itu lantang menyuarakan supaya PTPTN dimansuhkan dan memberi mesej yang salah kepada rakyat mengenainya.

4) Cukai barang dan perkhidmatan (GST)

Selain memper­kenalkan semula cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus, pakatan tersebut akan mengekalkan sistem GST tetapi mengurangkan kadarnya kepada sifar.

Berdasarkan bajet alternatif mereka, pakatan itu dijangka memperkenalkan cukai keuntungan modal.

Ini bermakna, sekiranya pakatan tersebut mentadbir dan GST dikurangkan daripada enam peratus kepada sifar, mereka masih boleh pada bila-bila masa meningkatkan kadar cukai itu kepada lima, enam, tujuh atau 10 peratus memandangkan sistem percukaian itu masih berjalan dan tidak dimansuhkan sebagaimana dicanang mereka.

Kesimpulannya, Eric menasihatkan rakyat supaya menilai secara menyeluruh janji-janji Pakatan Harapan yang diketuai DAP memandangkan mereka merupakan pakar pusingan-U dan propaganda kebencian.

“Lebih-lebih lagi, mereka yang mengajar kita bahawa manifesto bukanlah suatu janji, begitu juga dengan bajet alternatif mereka,” katanya.