Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam masa sama, Dr. Mahathir juga di­lihat seperti mempunyai agenda tertentu bagi membangkitkan kemarahan rakyat untuk tidak lagi mempercayai raja-raja.

Katanya, tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini bukan perkara kecil meskipun dalam bentuk pemulangan pingat kerana beliau se­olah-olah cuba memberi tekanan terhadap institusi tersebut.

“Bagi sesiapa yang rapat dengan bekas Perdana Menteri itu sudah tentu akan memahami sikap dan caranya yang sentiasa mempunyai strategi serta tujuan tertentu setiap kali melakukan sesuatu.

“Sebenarnya Dr. Mahathir ada mesej dan strategi tersembunyi yang cuba dilakukan bagi membangkitkan kebencian kepada institusi diraja kerana beliau tahu mempunyai sokong daripada luar khususnya DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Alatan dan Kelengkapan Sekolah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.

Kelmarin, Istana Selangor mengesahkan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali telah memulangkan kembali darjah kebesaran yang diterima daripada Sultan Selangor pada Khamis lalu.

Istana Selangor dalam kenya­taan menerusi Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dilaporkan berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima kembali pemulangan darjah-darjah tersebut tanpa sebarang halangan.

Mengulas lanjut Annuar berkata, sekiranya Pengerusi PPBM itu merasakan penghargaan tersebut tidak penting, beliau perlu memulangkan semua pingat yang diterima daripada raja-raja Melayu.