Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, beliau yakin semua nama yang diberikan itu memiliki bakat kepimpinan berdasarkan pengalaman mereka dalam kerjaya diceburi.

“Calon-calon itu telah melaksanakan pelbagai usaha bersama dan membantu Wanita BN diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Malah, saya yakin mereka ada keupayaan untuk menang apabila dipilih sebagai calon BN dalam PRU-14 nanti, justeru tidak ada sebab mereka ini tidak mendapat peluang menjadi calon,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Beaufort di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun, di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah, Pembantu Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi serta kira-kira 6,000 pengunjung di sekitar kawasan itu.

Baru-baru ini, Pengerusi Wanita BN negeri, Datuk Armani Mahiruddin telah mengemukakan senarai 20 calon Wanita BN terdiri daripada muka lama dan baharu untuk bertanding dalam PRU14 kepada Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Armani berkata, semua calon tersebut mempunyai kewibawaan serta berpotensi untuk dipertimbangkan sebagai calon oleh pucuk pimpinan BN.

Ditanya sekiranya senarai nama itu adalah untuk mengisi calon bagi kerusi DUN atau Parlimen negeri, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, beliau belum pasti mengenai perkara itu.

“Alhamdulillah, jika melibatkan kedua-dua kawasan. Sekurang-kurangnya kalau tidak kesemua dipilih bertanding, separuh pun besar ertinya kerana misi kita untuk menambah calon Wanita adalah berterusan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE