TUAN IBRAHIM

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ib­rahim Tuan Man berkata, se­telah majoriti rakyat beragama Islam menerima baik pembentangan RUU 355, maka Rafizi mungkin perlu mencari publisiti murahan menerusi ‘pendedahan’ tersebut.

Malah katanya, kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu yang mendakwa maklumat menge­nainya disalurkan bekas pe­gawai kanan Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menimbulkan 1,000 tanda tanya.

“Apa pun, Pas mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap parti ekoran pendedahan Rafizi. Bagi Pas, pendedahan Rafizi langsung tidak memberi sebarang kesan terhadap parti,” katanya dalam satu kenya­taan yang disiarkan Harakahdaily hari ini.

Dalam kenyataan itu juga, Tuan Ibrahim me­­ngingatkan semua pihak bahawa taktik fitnah untuk membu­nuh lawan bukan sahaja akan dicemuh malah akan ditolak pada pilihan raya akan datang.

“Rakyat juga masih mengingati taktik fitnah yang digunakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara dan juga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang berakhir dengan permohonan maaf di mahkamah kepada Abdul Khalid daripada pihak yang dituduhnya selepas beliau dijatuhkan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Naib Pre­siden Pas, Idris Ahmad menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Rafizi hanyalah untuk membentuk persepsi buruk bagi memusnahkan Pas.