Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan terbaharu PTPTN itu amat bercanggah dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan.

"Saya menyeru Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik supaya kembali berpijak di dunia yang nyata. Cukuplah berbulan madu dan kini masa melunaskan janji.

"Pemuda UMNO desak tarik balik dan kaji semula atau anak-anak muda akan zahirkan kekecewaan mereka dengan pelbagai cara," katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Gesaan sama turut dibuat oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang meminta PTPTN menangguhkan pelaksanaan mekanisme pembayaran balik yang baharu itu.

Jelasnya, mereka yang membayar balik pinjaman mengikut perjanjian sedia ada, terpaksa membayar lebih di bawah kaedah PGB yang diumumkan oleh PTPTN semalam.

"Kaedah ini tidak adil bagi peminjam yang sudah setuju dan sedang membayar balik secara bulanan. Harap jemaah menteri dapat memberi arahan untuk menangguhkan kaedah ini dalam mesyuarat esok," katanya menerusi status dalam laman Twitter beliau hari ini. - UTUSAN ONLINE