Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, apa yang PTPTN kemukakan mengenai cadangan berkenaan adalah hasil daripada maklum balas yang diterima daripada orang awam menerusi tinjauan dalam talian (Konsultasi Rakyat) yang dilaksanakan oleh PTPTN.

“Pihak PTPTN perlu berikan penjelasan (cadangan untuk memperkenalkan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam) bagi mengelakkan berlaku salah faham.

“Ini bukan cadangan daripada PTPTN, tetapi ia adalah pandangan awam menerusi tinjauan dalam talian yang dilakukan oleh PTPTN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Sungai Ara di sini hari ini.

Semalam, PTPTN dilaporkan mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, agensi itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Mastura berkata, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Sebelum ini, pada 26 Jun, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang ingkar ditarik balik dan sebanyak 429,945 peminjam PTPTN yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen turut dibatalkan. - UTUSAN ONLINE