MOHD. RAZLAN RAFII

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, adalah kesilapan besar dalam Dasar Pendidikan Negara apabila Perdana Menteri menubuhkan PTPTN pada 1997 kerana ia hanya menguntungkan segelintir pihak.

Dakwanya, perkara itu jelas kerana selepas PTPTN diwujudkan, lambakan kolej swasta tanpa kawalan dibuka oleh kroni-kroni Dr. Mahathir tanpa meneliti kualiti pembelajaran.

“Selepas tamat pengajian, mereka sukar mendapat pekerjaan disebabkan sijil masing-masing tiada kualiti akibat perbuatan kolej swasta yang hanya mencari untung, bukan melahirkan graduan yang bijaksana.

“Dr. Mahathir juga yang melahirkan masyarakat berhutang seawal usia 17 tahun. Mereka tidak boleh disalahkan kerana belum didedahkan dengan kaedah menguruskan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Dr. Mahathir meluahkan perasaan malu apabila rakyat Malaysia gagal membayar hutang pengajian selepas mendapat bantuan daripada kerajaan.

Tambah Mohd. Razlan, tindakan Perdana Menteri menswastakan pendidikan negara pada 1997 membolehkan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) lari daripada tanggungjawab dalam melahirkan pelapis kepada pemimpin masa depan.

“Semua tidak lagi terlewat sekiranya Dr. Mahathir menyedari kesilapan beliau apabila menukar Dasar Pendi- dikan Negara pada 1997,” ujarnya.