Sambil memberi perum­pamaan ‘tidak guna menang sorak, kampung tergadai, Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak mampu menunaikan janji tersebut.

Katanya, beliau menghormati pandangan dan desakan pelbagai pihak, namun perkara yang diakui tidak mampu itu perlu dinyatakan termasuk dengan memohon maaf supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kita kena timbangkan keinginan untuk membantu seramai mungkin pada tahun ini, atau keinginan membantu seramai mungkin pada tahun-tahun akan datang.

“Jangan nanti kita menang sorak, kampung tergadai apabila kita laksanakan janji (penangguhan bayaran balik bagi pe­minjam bergaji bawah RM4,000) tahun depan manakala tahun seterusnya PTPTN terpaksa ditutup,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya 2018 di perpustakaan Kolej Matrikulasi Arau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, jumlah bayaran balik peminjam PTPTN nanti akan ditentukan oleh Kabinet dan beliau percaya bukan bermula daripada gaji RM1,000.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau yakin beberapa janji besar Pakatan Harapan se­perti pemansuhan tol dan penurunan harga minyak dapat dilaksanakan apabila kerajaan sudah mempunyai dana yang cukup.

“Apa yang mampu kita buat, kita akan usaha laksanakan dan yang mana tidak mampu buat seperti janji PTPTN itu, kita mohon maaf.” katanya.