Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, Seksyen 29, Akta PTPTN 1997 telah memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

"Ada juga yang memberi komen mengenai kuasa majikan untuk membuat potongan gaji. Seksyen 29, Akta PTPTN 1997 telah memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan untuk melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

"Maka peruntukan undang-undang telah ada," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, PTPTN mengumumkan akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 serendah RM40 sebulan sehingga mencecah lebih RM1,000 mengikuti paras gaji.

Pengumuman itu mendapat kritikan pelbagai pihak terutama menyebabkan peminjam membayar pada kadar yang lebih tinggi berbanding perjanjian sedia ada.

Bagaimanapun bagi menjawab kritikan tersebut, Wan Saiful berkata bahawa dalam perjanjian yang mereka telah tandatangani tersebut, peminjam telah pun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan.

Beliau bagaimanapun menyatakan dirinya mengambil maklum pelbagai pandangan dan cadangan serta bersedia mempertimbangkan rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.

Wan Saiful turut memberi alasan dasar kaedah pembayaran baharu itu adalah bagi memastikan PTPTN dapat membantu generasi yang akan datang.-UTUSAN ONLINE