TUNKU ABDUL AZIZ

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, justeru apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan taktik kotor untuk menang PRU-14, dakwaan itu seolah-olah terkena pada batang hidungnya sendiri.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu merupakan seorang yang pakar dalam menggunakan taktik sedemikian ketika pilihan raya terdahulu terutamanya dakwaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah supaya mereka boleh me­ngundi untuk parti pimpinan beliau.

“Ya, PRU-14 akan menjadi pilihan raya kotor tetapi yang kotor itu datang daripada Dr. Mahathir. Demi anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga, beliau tidak akan berhenti. Beliau akan salahkan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor, padahal beliau sendiri yang menuduh tanpa fakta dan menggunakan taktik kotor.

“Dan lagi kotor lagi bagus. Beliau terdesak dalam merealisasikan impian yang akan menjadi mimpi ngeri buat negara. Be­liau tidak akan mempedulikan ke­pentingan, kebajikan dan ke­selamatan negara asalkan beliau atau anaknya menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PPBM yang mendakwa Najib sengaja mengubah senarai individu yang la­yak mengundi di kawasan tertentu dan menggunakan isu persempadanan untuk me­nang PRU-14.

Mengulas lanjut, Tun­­ku Aziz menganggap Dr. Mahathir akan terus menggunakan seribu satu alasan untuk memenangi PRU-14 termasuklah menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa sengaja memberi kelebihan kepada BN.

“Sedangkan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah sudah pun menjelaskan bahawa isu persempadanan bukan faktor menang atau kalah sesebuah parti sebaliknya keputusan pilihan raya ditentukan sendiri oleh pe­ngundi. Ini boleh dilihat menerusi negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan,” ujarnya.