PRU 14; tidak ada lagi baiah cerai talak tiga di Kelantan
Khairuddin Aman Razali

Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali memberitahu, sebaliknya, baiah yang bakal dilafazkan itu nanti adalah selaras dengan Pas Pusat iaitu segala pendapatan mana-mana wakil rakyat yang keluar daripada parti tanpa meletakkan jawatan adalah haram.

Beliau yang juga Pengarah Institut Strategi Pas Pusat berkata, pendekatan tersebut adalah bersesuaian dengan situasi semasa pada hari ini.

“Sudah tidak ada (baiah cerai talak tiga). Baiah itu dulu hanya dibuat untuk Kelantan. Pada pilihan raya akan datang, Kelantan pun sama akan ikut Pas Pusat,” katanya ketika ditemui selepas majlis dialog rakyat ‘Anda Tanya, Pas Jawab’di Bangunan Koperasi, Medan Syed Alwi di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; pemimpin-pemimpin Pas setempat dan lebih 100 ahli parti itu.

Sebelum ini, setiap wakil rakyat Pas Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Perkara tersebut terkandung dalam lafaz baiah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri itu sejak 2004 ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diteruskan sehingga pilihan raya lalu.

Antara wakil rakyat Pas yang melanggar baiah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Husam Musa yang kini bersama PAN.- UTUSAN ONLINE