Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, inj kerana banyak lagi perkara dan perancangan yang diatur kerajaan yang bermanfaat bakal dilaksanakan jika parti keramat Melayu itu memenangi pilihan raya akan datang.

“Ucapan Presiden UMNO menjadi pembakar semangat ahli. Pada masa sama, memperlihatkan keupayaan kita sebagai parti yang memerintah kerana banyak perkara-perkara yang dibangkitkan akan dan boleh dilakukan jika kita mendapat mandat.

“Jentera-jentera parti diingatkan agar memastikan kesiapsiagaan kerana kita tidak boleh berlengah-lengah lagi. Setiap jentera selepas perhimpunan ini perlu menumpukan kepada kerja-kerja parti (sebelum PRU-14) nanti,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang disempurnakan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan, ahli majlis tertinggi (MT) parti telah mengadakan perbincangan malam tadi berhubung cadangan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

“Presiden telah buat pendirian bahawa kita sangat tegas dalam isu ini. Malaysia akan menentang habis-habisan terhadap sebarang usaha yang mencemar kedaulatan al-Aqsa (Baitul Maqdis),” tegasnya. - UTUSAN ONLINE