Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan polis di negeri ini, memerlukan belanjawan lebih tinggi berbanding kontinjen lain kerana keadaan geografi Sarawak adalah luas.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peruntukan tinggi akan banyak digunakan untuk membiayai kos pengangkutan udara dan sungai semasa menjalankan tugas memantau pilihan raya membabitkan kawasan pedalaman.

“Saya dimaklumkan belanjawan PRU-14 untuk pasukan polis di Sarawak lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain kerana memerlukan pengangkutan udara dan sungai, manakala banyak jalan raya tidak berturap yang hanya dapat dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Jadi, saya sudah memberi jaminan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal bahawa tanggungjawab menyediakan belanjawan itu adalah tanggungjawab Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan peruntukan secukupnya akan diperoleh nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Negeri Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Senator Datuk Dr. Sim Kui Hian serta Amer.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan polis Sarawak untuk menghadapi PRU-14.

“Lawatan saya hari ini adalah untuk melihat tahap kesiapsiagaan PDRM di Sarawak untuk menghadapi PRU-14.

“Saya berpuas hati dengan persiapan dilakukan termasuk susun atur pergerakan dan latihan diadakan. Mereka benar-benar sudah bersedia seperti pasukan di kontinjen lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE