Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setiap anggota polis juga diingatkan supaya sentiasa berhemah dan profesional dalam menjalankan tugas mereka sepanjang PRU-14 bagi mengelakkan sebarang implikasi yang boleh mencalar kredibiliti pasukan keselamatan itu dan imej kerajaan.

Beliau turut menyeru pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat dalam suasana yang damai dan harmoni.

“Patuhilah undang-undang yang telah digariskan dan akurlah dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Jauhilah segala perkara yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam agar proses PRU-14 dapat berjalan dalam keadaan aman dan tenteram berteraskan semangat menyuburkan perlembagaan, mendaulatkan undang-undang dan mengekalkan kesopanan serta kesusilaan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bera yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera. - UTUSAN ONLINE