Pandangan itu disuarakan oleh beberapa panel pada Forum Tinjauan Global akhbar The Straits Times Singapura yang berlangsung di Singapura hari ini.

Memetik laporan The Straits Times Singapura, Pengasas Bersama dan Penganalisis Merdeka Centre, Ibrahim Suffian yang juga ahli panel forum memberitahu, antara faktor yang mendorong kepada perkara itu ialah kerana sebahagian besar pengundi Melayu dijangka meletakkan kepercayaan kepada parti berteraskan Melayu seperti UMNO dan juga Pas.

Hal ini kerana kata Ibrahim, agama dan bangsa merupakan realiti politik di Malaysia dengan para pengundi cenderung memilih parti yang dipercayai mampu menjaga kepentingan mereka.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka sukar mendapat perhatian dalam kalangan pengundi kerana masih baharu. Parti itu juga dijangka berhadapan kesukaran ekoran tanpa kesepakatan rakan-rakan komponennya untuk tidak bertanding di kerusi masing-masing.

“Mampukah Pakatan Harapan bersatu? Mereka belum mampu mem­bentuk pakatan pembangkang yang bersatu-padu, persoalan timbul sama ada mereka mampu untuk tidak bertanding sesama sendiri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.