Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu mampu direalisasikan sekiranya semua mereka bertindak sebagai duta perpaduan umat dengan berpegang kepada slogan ‘Islam didahulukan, kita bersamanya’.

“Paksi perjuangan Pas adalah Islam di mana kita berpegang kepada prinsip betapa Islam yang digenggam mesti bebas diamalkan, kuasa kepemimpinan Islam dipertahankan dan kewujudan masyarakat majmuk perlu dimanfaatkan.

“Negara dan umat Islam perlu diselamatkan daripada ‘bahaya yang dirasai serta bahaya menanti’ dan disebabkan itu umat Islam perlu disatukan menerusi pelbagai pendekatan seperti dialog, muzakarah, dan persetujuan untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-58, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Abduh memberitahu, beliau yakin usaha tersebut mampu direalisasikan dengan mengambil kira kejayaan menyatukan umat dalam perhimpunan aman bagi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) 355.