Inisiatif itu sejajar dengan kehendak dan permintaan Pe­ngerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha memenangi lebih banyak kerusi.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, calon MCA perlu dikenali, rajin dan disukai di peringkat akar umbi serta mempunyai komitmen tinggi dalam politik.

“Kita telah mengumumkan beberapa nama calon di beberapa tempat antaranya kerusi Parlimen Tebrau akan ditan­dingi Datuk Dr. Hou Kok Chung dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya pula Datuk Tan Cher Puk.

“Selain itu kita juga telah menggerakkan jentera di pe­ringkat akar umbi dan lebih 50 peratus daripada mereka adalah calon muda serta muka baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Pre­siden (Grid) TNB, Datuk Ir. Ho Peng Choong; Ketua Pegawai Risiko TNB, Datuk Ir. Lim Tong Kang dan Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Negeri Pahang, Bahagian Pembahagian TNB, Datuk Sharuddin Mohd. Simin.

Tambah Tiong Lai, MCA juga lebih menumpukan kepada aktiviti di peringkat pusat daerah mengundi.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan perpecahan dalam MCA sebelum ini dapat diatasi sepenuhnya dan diharap berupaya mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina terhadap parti itu.

“Fokus kita adalah untuk menarik kembali kepercayaan masyarakat Cina terhadap parti MCA dan langkah umumkan calon adalah langkah terbaik untuk hadapi PRU-14.

“Oleh yang demikian, calon-calon dinamakan perlu kerja kuat untuk memenangkan ke­rusi, jika tidak nama mereka akan ditukar,” ujarnya.

Dalam pada itu, majlis ber­kenaan menyaksikan sebanyak 200 murid di daerah ini me­nerima bantuan persekolahan daripada TNB.

Di Pahang, sumbangan ber­­­kenaan turut melibatkan 1,400 pelajar sekolah di tujuh kawasan iaitu Cameron Highlands, Jerantut, Kuala Krau, Lipis, Pekan dan Rompin.