KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan diketuainya telah melakukan persiapan lebih awal dan tidak memberi fokus kepada usaha atau agenda parti pembangkang.

“Saya rasa kita sudah berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi. Persiapan kita sudah bermula lebih awal lagi. Kita tidak fokus kepada apa yang pembangkang buat, kita cuma fokus kepada rakyat.

“Ramai termasuk parti pembangkang yang melihat pelancaran jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) agak gerun berikutan perpaduan yang ada dalam BN dan persiapan kita dalam menghadapi pilihan raya umum nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Volunteer for Kuala Lumpur (V4KL) 2017 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mohktar dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Raz­lan Muhammad Rafii.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan JR Plus membabitkan kerjasama ketiga-tiga sayap dalam bagi menghadapi PRU-14.

Sementara itu, dalam majlis perasmian Kejohanan Balapan dan Padang Kali ke-24 Sekolah Kebangsaan Tun Dr. Ismail (2) di sini, Khairy menjelaskan, JR Plus diyakini akan menjadi senjata politik BN dengan penyertaan gabungan pergerakan-pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti komponen lain.

“Pendekatan kita adalah sama dengan Sukan SEA yang mana kita tidak peduli apa kelemahan negara luar tapi kita hanya fokus menambah baik prestasi atlet-atlet kita untuk berjaya.

“Begitu juga dengan pilihan raya. Kita tidak mahu tahu apa kelemahan DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR atau Pas tetapi kita kuatkan BN dan saya yakin rakyat akan terima kita dengan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika merasmikan kejohanan sukan sekolah terbabit memberikan kejutan apabila muncul sebagai maskot rasmi Sukan SEA Ke-29, iaitu Harimau Malaya.