Perkara itu diakui oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hisham­muddin Tun Hussein (gambar) yang menjelaskan beliau sendiri yang bertanggungjawab menyediakan garis panduan itu.

Kenyataan Hi­sham­­muddin itu di­­buat ketika banyak pihak cuba me­nimbulkan spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan berlangsung.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, garis panduan tersebut belum lagi diedarkan kerana dibimbangi akan bocor dan kepemim­pinan parti akan me­ngadakan bengkel me­ngi­kut negeri.

“Kita sudah ada perancangan cara ba­gaimana yang kita anggap sesuai untuk PRU-14 nanti dan perkara ini akan diterangkan kepada jentera parti sehingga ke peringkat pusat daerah mengundi (PDM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika wawancara bersama media bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-71 UMNO di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ketika diajukan soalan me­ngenai tarikh pilihan raya, Hi­sham­muddin secara berseloroh meminta wartawan berta­nya sen­diri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Soalan ini tidak termasuk dalam skop tugas saya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri,” ujar beliau.

“Bukan peringkat bahagian sahaja, kalau dapat selesai PDM sebelum pilihan raya, kami akan turun ke peringkat cawa­ngan. Ahli-ahli menunggu arah­an kepemimpinan, bagaimana mahu berdepan dengan pilihan raya umum nanti, setakat ini semua berada dalam landasan sebenar,” katanya.